Kuala Lumpur Post

Social

Edar dadah : Bekas mahasiswa dipenjara 30 tahun, 12 sebatan

SEREMBAN — Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Seremban kerana mengedar dadah jenis kanabis seberat hampir 2kg, empat tahun lalu.

Hakim Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nur Arif Nur Akil, 26, selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan serta pembelaan dan memerintahkan hukuman penjara berjalan dari tarikh tangkapan pada 2 Sept 2020.

“Sebelum ini mahkamah mendapati kamu (tertuduh) bersalah dan disabitkan atas pertuduhan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jadi hukumannya, setelah saya mendengar dan menimbang rayuan mitigasi dikemukakan melalui peguam kamu dan hujahan pemberat yang ditimbulkan pihak pendakwaan, saya memutuskan kamu dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dari tarikh tangkap dan 12 sebatan,” katanya.

Nur Arif yang ketika itu merupakan mahasiswa di sebuah universiti swasta di Selangor, didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1900.9g, di tempat letak kereta sebuah pasar raya di daerah ini kira-kira 5.30 petang pada 2 Sept 2020.

Kesalahan dilakukan bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Seramai 10 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula sejak 10 April 2023 dengan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ala’uddin Baharom manakala peguam Shah Rizal Abdul Manan mewakili Muhammad Nur Arif.

Terdahulu, Shah Rizal dalam rayuannya meminta hukuman penjara dikenakan terhadap anak guamnya dengan mengambil kira usia tertuduh yang masih muda dan mempunyai masa depan cerah, apabila bebas pada masa akan datang selain ini merupakan kesalahan pertamanya.

“Pohon juga mahkamah ambil kira jenis dadah iaitu kanabis yang tergolong dalam ‘soft drug’ dan bukannya ‘chemically enhanced drug’ serta berat dadah itu tidak sampai 2kg…kita mahu memberi pengajaran kepada golongan muda, tetapi perlu ambil kira kepentingan tertuduh dan ahli keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, Ala’uddin meminta hukuman mati dijatuhkan kepada tertuduh, mengambil kira kepentingan awam termasuk faktor pencegahan, penghukuman serta kesalahannya dalam kes terbabit.

“Ia merupakan kes pengedaran dan kesalahan ini dapat dibuktikan secara terus dan tidak menggunakan sebarang anggapan…sama ada dadah soft atau high, itu bukan persoalan kerana kesan pengambilan tetap negatif.

“Sebab itu negara mengharamkan segala berkaitan dadah melainkan diberikan lesen. Dalam kes ini, tertuduh merupakan pelajar universiti dan seharusnya seorang yang berpelajaran tahu akibat dan kesan sekiranya terlibat dengan dadah,” katanya.