KUALA LUMPUR — Wadah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, dilihat sebagai asas atau induk bagi perancangan seperti pelan subsidi bersasar yang bakal diperincikan dalam Belanjawan 2024, kelak.
Sehubungan itu, CGS-CIMB Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya hari ini berkata tempoh dalam bulan-bulan mendatang akan menjadi tumpuan dalam mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai aspek tersebut.
Pada masa sama, ia menganggap Ekonomi MADANI turut menggariskan inisiatif sosioekonomi dengan kekompleksan ekonomi, mewujudkan persekitaran pelaburan serba kondusif dan meningkatkan daya tahan ekonomi.
“Wadah tersebut turut mengutamakan aspek sosial melalui kesaksamaan serta meningkatkan perlindungan sosial dan menambah baik mobiliti sosial,” katanya.
CGS-CIMB berkata Ekonomi MADANI turut membentuk asas bagi perancangan-perancangan penting negara seterusnya, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 pada Ogos, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada September dan Belanjawan 2024 pada Oktober depan.
“Kesemua pengumuman ini akan memberi gambaran lebih jelas mengenai hala tuju kerajaan. Malah, sekiranya mendapat sambutan baik, ini akan turut menjadi pemangkin bagi melonjakkan prestasi lebih baik untuk ringgit.
“Berikutan itu, kami mengekalkan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 pada 4.6 peratus tahun ke tahun manakala unjuran KDNK 2024 juga pada 4.6 peratus,” katanya.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata bursa tempatan kekal positif susulan pengumuman Ekonomi MADANI serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) bagi merangsang ekonomi negara.
“Bagi kami, beberapa inisiatif seperti membenarkan dagangan dalam lot lebih kecil serta pecahan saham selain membolehkan peralihan automatik untuk syarikat tersenarai di Pasaran ACE ke Pasaran Utama, akan hanya meningkatkan lagi minat dagangan di Bursa Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikannya.