Kuala Lumpur Post

Nation

Ekonomi Madani lonjak ekonomi Malaysia, tingkat kualiti hidup rakyat : PM

KUALA LUMPUR — Ekonomi MADANI, kerangka ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia, akan membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pengumuman ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ adalah satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu-isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

“Ia perihal mengangkat semula darjat dan martabat negara ini dengan dua tumpuan utama iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia, dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti,” kata beliau semasa mengumumkan inisiatif Kerajaan Perpaduan itu di sini hari ini.

Selain pelbagai ikhtiar dilaksanakan di bawah Belanjawan MADANI 2023 dan siri pengumuman yang digerakkan sejak menerajui kerajaan pada November 2022, beliau berkata Ekonomi MADANI menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum tempoh 10 tahun.

Tags: , ,