Nation
359

Fenomena air pasang besar di Perak terburuk, Selangor masih terkawal

Teluk Intan – Sebahagian penduduk yang terjejas akibat fenomena air pasang besar di Teluk Intan, Perak menyifatkan kejadian itu adalah yang terburuk kerana menyebabkan limpahan air sehingga kawasan rumah.

Bagaimanapun, fenomena itu dilaporkan masih terkawal di Selangor.

Tinjauan Bernama di Perak mendapati premis perniagaan dan rumah penduduk di sekitar Pasir Bedamar, Teluk Intan yang terletak berhampiran Sungai Perak dinaiki air sedalam satu meter.

Kebanyakan penduduk berdepan pengalaman pertama apabila rumah dan kedai mereka dimasuki air, situasi yang tidak pernah dialami ketika fenomena air pasang besar sebelum ini.

Abdul Jalil Abdul Aziz, 49, yang tinggal di Jalan Pasar kira-kira 200 meter dari Sungai Perak berkata fenomena air pasang besar tahun ini adalah yang terburuk sejak 30 tahun lepas.

“Saya tinggal di sini sejak kecil, memang setiap tahun air pasang besar ini berlaku tetapi tidaklah sampai masuk ke dalam rumah. Kali ini air sedalam satu meter masuk sampai ke ruang tamu dan dapur.

“Barangan elektrik seperti peti ais habis rosak dan tidak sempat diselamatkan kerana air naik begitu cepat dan deras malah beberapa perabot rumah juga rosak,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Seorang peniaga peralatan sembahyang, Gan Yan Ying, 40, berkata sejak berniaga lebih 20 tahun lepas, ini kali pertama kedainya dimasuki air.

“Selalunya apabila air pasang besar, tidak masuk (air) sampai ke kedai tetapi kali ini air masuk. Saya terpaksa cuci dan kemas kedai hingga 1 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata fenomena itu menjejaskan 12 kawasan di sekitar Teluk Intan iaitu Kampung Sungai Kerawai, Kampung Terengganu, pekan Teluk Intan, Kampung Esso dan Kampung Pisang Batak Rabit.

Turut terjejas Taman Maharani, Lorong Kalat Batak Rabit, Batu 6 Jalan Maharajalela, Taman Muhibbah Batu 6, Taman Desa Aman, Kampung Batak Rabit dan Lorong Masjid Kampung Bahagia.

Menurut jurucakap itu air pasang besar mula berlaku kira-kira 4.30 pagi, Khamis lepas, dengan paras air laut meningkat setinggi 3.4 meter sehingga menyebabkan berlakunya limpahan air ke kawasan penduduk namun tiada penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan.

Di SELANGOR, air pasang besar yang melanda pesisir pantai negeri itu masih terkawal dengan hanya dua kawasan air melimpah melepasi ban iaitu di Petronas metering station dan Pengkalan Jeti Tok Muda di Kapar, bagaimanapun rumah penduduk berdekatan tidak dinaiki air.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pemantauan bersepadu terhadap fenomena itu dilakukan beberapa balai bomba bersama agensi bencana lain sejak 5.30 hingga 7 pagi tadi.

“Lokasi pemantauan termasuk Bagan Pasir, Pantai Sungai Kajang, Pekan Tanjong Karang, Jeti Pulau Ketam, Jalan Pandamaran, Pantai Remis, Pantai Jeram, Jeti Jambatan Kuala Selangor, Pengkalan Sungai Keramat, Kampung Ban Pecah, Jeti Sementa, Jeti Serindit, Jeti Sri Tanjung Kampung Sijangkang, Jeti Simpang Teluk, Ban Kampung Melayu Pulau Carey dan Pantai Bagan Lalang.

“Terdapat limpahan air tetapi keadaan terkawal dan tiada pemindahan mangsa. Air mulai surut pada 7 pagi dan menunjukkan trend menurun sejak semalam,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu