Kuala Lumpur Post

Social

Gadis 19 tahun didakwa dera kanak-kanak

SEREMBAN — Seorang gadis berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas empat pertuduhan mendera empat kanak-kanak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di daerah ini, Ogos lalu.

Dia yang juga penjaga di pusat jagaan itu mengaku tidak bersalah di dua kamar mahkamah berasingan.

Tertuduh yang memakai jubah hitam didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semalam ratusan kanak-kanak diselamatkan dalam operasi besar-besaran di Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi semalam, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Beliau berkata siasatan polis mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Katanya, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.