Social
232

Gadis cuba terjun dari jejambat

Bentong – Hanya kerana ditegur kerana asyik bermain permainan video dan telefon bimbit dirampas bapanya, seorang gadis bertindak di luar kewarasan apabila cuba membunuh diri dengan terjun dari jejambat Bukit Tinggi di Kilometer 46 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.12 petang itu seorang gadis berusia 16 tahun didapati cuba meniti di tepi jejambat berkenaan dalam keadaan berbahaya.

“Pihak polis beberapa kali cuba memujuk perempuan tersebut supaya bertenang sehinggalah perempuan itu didapati dalam keadaan tidak stabil ketika berada di atas jejambat berkenaan.

“Pihak polis terus memujuknya dan pada ketika itulah Ketua Polis Balai Bukit Tinggi berlari ke arah mangsa dan terus menariknya kebelakang, pada masa yang sama dibantu oleh anggota polis lain untuk menyelamatkan mangsa,”katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, semasa kejadian pihak polis telah menghubungi bomba untuk memberikan bantuan di lokasi dan pihak bomba bersedia dengan peralatan ‘salvage sheet’ di bawah jejambat.

Menurut Zaiham mangsa telah dibawa ke Hospital Bentong bagi mendapatkan rawatan dan masih mengalami kemurungan.

Dalam pada itu katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.

“Pihak polis berharap agar ibu bapa sentiasa memerhati tingkah laku anak-anak agar kejadian seumpama ini tidak berlaku,”ujarnya. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu