Nation
520

Gangguan bekalan air berjadual di Selangor & KL

Shah Alam – Sebanyak 88 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air berjadual secara berperingkat bermula 30 Mac depan.

Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berkata, gangguan itu susulan pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan aset utama secara berjadual berdasarkan kelulusan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Katanya, gangguan pertama adalah selama 48 jam bermula pukul 9 pagi pada 30 Mac depan akan melibatkan 30 kawasan iaitu masing-masing 14 di Klang, Shah Alam (11) dan Petaling (5) kerana kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu di Persiaran Selangor Seksyen 15, di sini.

“Seterusnya adalah 58 kawasan iaitu 46 di Kuala Lumpur dan Gombak (12) dengan gangguan air disebabkan kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates yang akan dilaksanakan bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam pada 6 April.

“Kerja-kerja ini akan menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Nanas dan Wangsa Maju,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Air Selangor turut memaklumkan pihaknya juga dalam perancangan untuk melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan aset-aset utama di beberapa LRA iaitu LRA Cheras Batu 11, LRA Sungai Langat dan LRA Sungai Selangor Fasa 1 di antara 15 jun, 6 Julai dan 5 Oktober depan.

“Walau bagaimanapun, pelaksanaan kerja-kerja berjadual ini tertakluk kepada kelulusan daripada SPAN. Air Selangor akan memaklumkan senarai kawasan-kawasan yang terlibat dan jadual pemulihan bekalan air dengan lebih terperinci setelah kelulusan SPAN diperolehi,” jelasnya.

Sehubungan itu, Air Selangor menasihatkan para pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh ini.

Orang ramai boleh melayari laman web Air Selangor di www.airselangor.com atau Aplikasi Air Selangor berhubung senarai kawasan gangguan. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu