Kuala Lumpur Post

Social

Gangguan bekalan air: MBPP sedia 98 tangki statik untuk operasi kompleks penjaja, pasar

GEORGETOWN — Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan membekalkan 98 buah tangki air statik di 82 kompleks, pasar dan tapak penjaja dalam kawasan pentadbirannya yang terlibat dengan gangguan air berjadual pada 10 hingga 14 Januari ini.

Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran, berkata inisiatif itu, diambil bagi melancarkan operasi perniagaan sepanjang tempoh tersebut, memandangkan premis di situ tidak mempunyai tangki air tetap dan akan dihantar secara berperingkat mulai hari ini.

Beliau berkata 28 lokasi yang terlibat ialah di George Town, Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah (6); Jelutong (13);Gelugor (5); Bayan Baru, Batu Maung dan Relau (7); Bayan Lepas, Sungai Ara dan Balik Pulau (4) dan Air Itam (8), manakala 11 lagi lokasi membabitkan sebahagian kawasan di Sungai Ara, Balik Pulau dan Permatang Damar Laut.

“Setiap tangki berkapasiti 2,271 liter dan kita telah beli sebanyak 105 buah untuk dibekalkan di lokasi yang tiada tangki, dengan setiap lokasi akan diletakkan satu atau dua (tangki) bergantung kepada kegunaan serta bilangan gerai.

“Kita juga akan menempatkan seorang kakitangan di setiap lokasi untuk memantau sekiranya kuantiti air dalam tangki berkurangan, dan mereka ini bertanggungjawab menghubungi bilik gerakan MBPP untuk menghantar dan mengisi bekalan, supaya ia sentiasa mencukupi bagi kegunaan di situ,” katanya pada sidang media di Bangunan MBPP, di sini, hari ini.

Rajendran berkata keseluruhannya terdapat 159 lokasi kompleks, pasar dan tapak penjaja yang berada di bawah pentadbiran MBPP di Daerah Timur Laut dan Barat Daya.

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan seramai 590,000 pengguna termasuk bukan domestik di Pulau Pinang, akan terlibat dengan gangguan bekalan air berjadual bermula jam 6 pagi 10 Januari hingga 6 pagi 14 Januari bagi memberi laluan kepada kerja penggantian dua unit injap 1,200 milimeter (mm) yang rosak di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua selain kerja sampingan lain di 22 lokasi seluruh negeri ini.

Sementara itu, Rajendran berkata semua 16 penjaja yang terlibat dengan kebakaran yang memusnahkan gerai mereka di Tapak Penjaja Lorong Bukit Dumbar, Jelutong awal pagi semalam akan diberikan tapak sementara bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan.

Beliau berkata pihaknya sudah mengenal pasti lokasi bersesuaian yang tidak jauh dari tapak sedia ada untuk mereka berpindah dan beroperasi untuk jangka masa sementara.

“Tapak itu tidak lagi sesuai digunakan buat masa ini kerana ia tidak selamat, malah pihak bomba juga tidak membenarkan sesiapa pun berniaga di situ jadi, kita tunggu dulu sehingga (bomba) selesai siasatan baru kita tengok macam mana untuk naik taraf tempat ini.

“Memang kita sudah ada rancangan (untuk menaik taraf tapak penjaja) malah peruntukan sebanyak RM441,000 juga telah diluluskan, tetapi nampaknya ia terpaksa ditangguhkan dan buat masa ini, kita pindahkan dahulu peniaga di lokasi berhampiran, untuk bolehkan mereka menyambung perniagaan sementara menunggu tapak kekal dibangunkan semula,” katanya.

Semalam, media melaporkan sebanyak 16 gerai di Tapak Penjaja Lorong Bukit Dumbar musnah dalam kebakaran kira-kira jam 5.30 pagi.

Tags: ,