Social
169

Ganja, syabu bernilai RM4.6 juta dirampas

Kota Bharu – Polis merampas 100 kilogram (kg) dadah jenis syabu serta 393 kg ganja bernilai hampir RM4.6 juta dalam tiga serbuan berasingan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan JSJN Kontinjen Kelantan pada 20 April hingga malam tadi.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata dalam dua serbuan itu, seramai enam individu iaitu tiga lelaki dan tiga wanita berumur antara 27 hingga 50 tahun turut ditahan.

“Dalam serbuan yang dilakukan ke sebuah rumah di Tanah Merah, pukul 7.30 malam (24 April) sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah telah menahan seorang lelaki dan wanita berumur 27 dan 39 tahun.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan polis menemukan sebanyak 100 kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM3.6 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan ACP Sheik Azhar Sheik Omar.

Jelasnya, turut disita dalam serbuan berkenaan adalah sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz dan tiga motosikal yang dianggarkan bernilai RM53,000.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembekal dadah yang dirampas. Kedua-dua suspek direman mulai hari ini hingga 1 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” kata Razarudin.

Dalam dua serbuan berasingan di sekitar Kota Bharu pada 20 April lepas, beliau berkata polis menahan dua lelaki dan dua wanita berumur antara 31 hingga 50 tahun kerana disyaki cuba menyeludup ganja seberat 393 kg.

Katanya, semua ganja bernilai RM982,500 itu disyaki diseludup masuk melalui Selatan Thailand sebelum diedarkan ke selatan tanah air seperti Johor dan seterusnya ke Indonesia.

“Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati keempat-empat suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Kumpulan ini juga disyaki aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Februari lepas. Turut disita dalam serbuan itu adalah sebuah Honda Civic, sebuah lori dan barangan kemas, keseluruhannya bernilai RM148,650.

“Kesemua mereka direman mulai 21 hingga 27 April,” katanya sambil memberitahu pihaknya yakin tokan sebenar berada di luar Kelantan dalam kes melibatkan rampasan ganja ini.

Mengulas lanjut, beliau turut berkata kejayaan itu diharap dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang diseludup masuk ke negara ini dari negara jiran melalui pangkalan haram.

“Sekiranya kesemua dadah itu terlepas, ia mampu menampung keperluan kepada 1.78 juta penagih dadah di seluruh negara. Justeru, pihak polis khususnya JSJN akan terus berusaha mengesan saki-baki ahli sindiket yang terlibat untuk diheret ke muka pengadilan,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu