Social
388

Gelandangan didakwa rogol, bunuh warga emas

Shah Alam – Seorang lelaki gelandangan warga India dihadapkan ke dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan membunuh seorang wanita warga emas bulan lepas.

Di Mahkamah Majistret, P. Ponloganadhan, 60, didakwa membunuh wanita tempatan berusia 63 tahun itu di lorong belakang sebuah kedai di Jalan Damai 25/60 Taman Sri Muda, di sini, antara jam 1.12 pagi dan 2 pagi pada 26 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Di Mahkamah Sesyen, Ponloganadhan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita itu di tempat, tarikh dan masa sama dan didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Helina Sulaiman tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Nov depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Uzair Abd Munir dan Ainul Amirah Abdul Razak manakala tertuduh diwakili peguam Thiru Logeswary, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu