Social
993

Geng Ashmer menyamar penghantar makanan tumpas

Kuala Lumpur – Sekumpulan peragut dikenali sebagai Geng Ashmer, dikesan menyamar sebagai penghantar makanan sejak lima bulan lalu dan mendalangi sekurang-kurangnya 30 kejadian ragut di sekitar Lembah Klang.

Kegiatan empat lelaki termasuk dalang utama itu, ditumpaskan polis daerah Sentul menerusi Op Rentap, membabitkan beberapa siri serbuan di Sentul, Wangsa Maju dan Gombak di antara 23 hingga 28 Oktober lalu.

Hasil serbuan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Polis Sentul itu, membolehkan mereka menahan suspek berusia di antara 25 hingga 51 tahun.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata turut dirampas empat motosikal, lima topi keledar, enam telefon bimbit, dua beg pengantar makanan, satu penimbang dan 36 rantai leher dipercayai emas dengan nilai keseluruhan RM55,000.

Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi kumpulan itu dengan menyamar sebagai penghantar makanan bagi meragut rantai leher mangsa sejak lima bulan lalu.

“Seorang suspek dikesan bertindak memantau persekitaran, manakala dua lagi berperanan meragut rantai leher yang kemudian dijual kepada seorang lagi suspek berusia 51 tahun di Selayang Baru.

“Hasil jualan akan dibahagikan sesama ahli kumpulan. Pemeriksaan lanjut mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah.

“Semua suspek direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut. Dengan penahanan mereka, polis berjaya menyelesaikan 30 kes ragut di Lembah Klang termasuk 10 di Sentul,” katanya pada sidang media di IPD Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu melanggar undang-undang.

“Justeru, mereka yang pernah menjadi mangsa ragut atau mempunyai maklumat kegiatan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206 atau BSJ Sentul (03-40482222),” katanya, lapor BH Online.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu