Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Geng Mawar tumpas, empat termasuk pelajar ditahan

KEPALA BATAS — Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Mawar’ dengan penahanan empat individu termasuk seorang pelajar Tingkatan Empat yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 16 kes pecah rumah di Bertam Perdana di sini pada 28 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Mohd Radzi Ahmad berkata bertindak hasil maklumat serta risikan, pasukan khas polis Op Pintu melancarkan operasi dan berjaya menahan tiga lelaki di sebuah rumah di kawasan itu pada 3.40 pagi.

Katanya semasa ditahan, tiga lelaki itu baru sahaja memecah masuk sebuah rumah di kawasan tersebut.

“Polis turut menahan teman wanita seorang daripada suspek tersebut di Bedong, Kedah pada 3.30 petang 30 Sept kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan geng itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd Radzi berkata siasatan awal mendapati kesemua empat suspek berusia 16 hingga 37 tahun itu, dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah serta curi di sekitar SPU dan Sungai Petani, Kedah sejak Februari tahun lepas.

Menurutnya modus operandi geng itu ialah tiga lelaki tersebut akan melakukan tinjauan di rumah sekitar taman perumahan di daerah SPU terutama Bertam Perdana, Perda Indah, Kubang Menerong dan Tasek Gelugor dalam tempoh beberapa hari bagi mengenal pasti kediaman yang tiada penghuni.

Katanya mereka kemudian akan memecah masuk menerusi bahagian belakang rumah berkenaan sebelum melarikan barangan elektrik dan berharga dengan menggunakan kereta jenis Proton Wira.

“Geng ini tinggal di Sungai Petani dan datang ke SPU untuk melakukan jenayah pecah rumah dan semua barang yang dicuri itu disimpan di rumah ketua mereka yang berusia 37 tahun sebelum dijual kepada pembeli.

“Wanita itu pula berperanan menjual semua barang kemas yang dicuri di pajak gadai dan siasatan kami mendapati dengan penahanan empat suspek tersebut telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 16 kes di SPU membabitkan kerugian RM250,000,” katanya.

Mohd Radzi berkata susulan penahanan itu, polis merampas pelbagai beg dan kasut berjenama, televisyen, telefon bimbit, komputer riba, barangan kemas, matawang asing dan wang tunai bernilai puluhan ribu ringgit, serta peralatan tukang dan pecah rumah yang digunakan untuk kegiatan jenayah itu.

Menurutnya kesemua yang ditahan mempunyai satu hingga 19 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan direman hingga 11 Okt bagi membantu siasatan menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, lapor Bernama.

Tags: , , , ,