Social
270

Geng Nicky : 12 pegawai penguat kuasa ditahan

Johor Bahru – Seramai 12 pegawai agensi penguat kuasa ditahan menerusi Op Pelican 3.0 dipercayai terbabit kumpulan jenayah terancang dikenali Geng Nicky.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua yang ditahan itu berusia antara 36 hingga 49 tahun, dengan dua daripadanya adalah daripada agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melancarkan operasi antara 21 April hingga hari ini, di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Pecahan tangkapan bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah meliputi seorang berpangkat Superintendan bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan seorang Inspektor bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Bagi Kontinjen Selangor meliputi seorang berpangkat Deputi Superintendan (DSP) bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Selangor, seorang Asisten Superintendan (ASP) bertugas di cawangan khas IPK Selangor, selain dua Inspektor bertugas di JSJ IPK Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Bagi Kontinjen Melaka meliputi seorang berpangkat DSP bertugas di JSJ IPD Melaka Tengah, manakala Kontinjen Kuala Lumpur meliputi dua polis berpangkat ASP bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan JSJ IPD Sentul,” katanya pada sidang media di IPK Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, turut ditahan, seorang Inspektor yang bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Air Hitam, Negeri Sembilan, selain seorang berpangkat Penolong Pesuruhjaya SPRM dan seorang lagi Penguasa SPRM yang bertugas di Putrajaya.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VI B Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan ditahan adalah 64 individu. Siasatan masih dijalankan (soalan bagi rampasan sewaktu tangkapan dan adakah mereka melindungi Geng Nicky).

“Kalau ada nama-nama baharu, kita akan jalankan operasi susulan. Biar kita jalankan soal siasat terperinci, siapkan kertas siasatan. Saya tidak boleh bagi perinciannya. Saya pun tidak menyebut nama sebab mereka belum dituduh lagi.

“Jumlah ini tidak statik. Saya tidak boleh kongsi ada lagi 10 ke, mungkin sebelum ini kita kata ada 34, tapi apabila buat tangkapan, jumlahnya kecil, tidak cukup bukti untuk tuduh. Bergantung kepada siasatan yang dibuat, ia akan berkembang,” katanya.

“InsyaAllah… tidak pasti Nicky berada di Malaysia atau luar negara (soalan adakah penangkapan ini membawa kepada penemuan Nicky),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pada 30 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador mendedahkan terdapat 34 pegawai dan anggota agensi penguat kuasa disyaki bersekongkol dengan kumpulan Geng Nicky yang dikaitkan dengan Pengasas Winner Dynasty Grou, Nicky Liow Soon Hee.

Pada sidang media sama, Abdul Hamid turut memaklumkan 68 ahli kumpulan jenayah terbabit ditahan termasuk lapan orang kenamaan bergelar Datuk Seri dan Datuk. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu