Social
139

Golongan berusia 50 tahun cenderung jadi sasaran Macau Scam

Kuala Lumpur – Golongan berusia 50 tahun cenderung untuk menjadi mangsa sindiket Macau Scam kerana kurangnya pendedahan terhadap maklumat serta perkembangan semasa berhubung kes-kes seumpama itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamaruddin Md Din berkata selain itu faktor kedudukan ekonomi golongan ini yang lazimnya mempunyai aliran kewangan yang stabil, simpanan hari tua, dan wang persaraan terkumpul menjadikan peratusan mereka sebagai mangsa adalah lebih tinggi.

“Amat menyedihkan apabila wang yang sepatutnya menjadi kegunaan dalam menempuh hari persaraan hilang akibat menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamaruddin berkata sepanjang 2019 sehingga Jun tahun ini, statistik menunjukkan jumlah tertinggi mangsa sindiket berkenaan adalah individu dalam lingkungan umur 51 tahun ke atas iaitu seramai 1,621 orang atau 29.3 peratus daripada 5,535 mangsa yang direkodkan.

Katanya, dapatan tersebut didapati hasil analisis pihaknya berhubung kes penipuan Macau Scam yang berlaku di negara ini.

Menurutnya, mangsa berumur dalam lingkungan 41 hingga 50 tahun pula merekodkan sebanyak 17.8 peratus, 31 hingga 41 tahun (25.3 peratus), 21 hingga 30 tahun (26.2 peratus), manakala mangsa di bawah 20 tahun adalah 1.5 peratus.

Selain itu, katanya sepanjang tempoh berkenaan sebanyak 5,527 kes penipuan Macau Scam dicatatkan oleh jabatan berkenaan melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM327,910,835.05.

Pada 2019 sejumlah 2,466 kes dicatatkan dengan nilai kerugian RM121.85 juta; pada 2020 sebanyak 2,247 kes (RM172. 7 juta), manakala dari tempoh Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 814 kes dilaporkan (RM33. 3 juta), katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata komunikasi dalam kalangan keluarga amat perlu bagi menyalurkan maklumat serta perkembangan modus operandi penipuan sebegini.

Katanya anak-anak yang mempunyai pendedahan langsung dengan maklumat di media sosial disarankan berkongsi pengetahuan dengan ibu bapa agar mereka turut cakna dengan situasi semasa, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu