Nation
253

Guan Eng gagal lagi pindah kes rasuah ke Mahkamah Tinggi

Putrajaya – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sekali lagi gagal dalam permohonannya untuk memindahkan kes rasuahnya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan sebulat suara itu (unanimous) dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai hakim Datuk Nor Bee Ariffin bersama dua lagi hakim yang bersidang Datuk Che Mohd.Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah yang menolak permohonan Guan Eng selaku perayu.

Justeru dengan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut kes rasuah yang sedang berlangsung dengan 11 saksi telah dipanggil, perbicaraan akan diteruskan dan bersambung pada 29 November ini di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguam Gobind Singh Deo mewakili Guan Eng.

Sementara itu, Gobind ketika ditemui selepas prosiding kes berkata, pihaknya akan menunggu arahan selanjutnya (further direction) sama ada untuk membuat rayuan atau tidak berhubung dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Pada 8 Julai, lalu Guan Eng memfailkan permohonan supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan antara lain ia melibatkan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung pemfailan penyataan pembelaan yang merupakan persoalan penting untuk mendapat perbicaraan adil yang boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Bagi kes yang bermula di Mahkamah Sesyen, rayuan akan berakhir di Mahkamah Rayuan.

Kemudian pada 12 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan Guan Eng untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 61, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR,or Georgetown, Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara pukul 12.30 pagi hingga 2 pagi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017, lapor Kosmo Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu