Nation
798

Guan Eng, Gnanaraja bincang perkara sulit pada awal pagi : Saksi

Kuala Lumpur – Seorang ahli perniagaan Datuk Seri K.Geethanjali Gausillia memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pernah mengunjungi kediamannya di Petaling Jaya pada awal pagi empat tahun lepas bagi membincangkan perkara sulit dengan suami beliau.

Geethanjali, 35, yang juga pelakon filem tempatan, bagaimanapun berkata beliau tidak tahu apa yang dibincangkan kerana Datuk Seri MG Gnanaraja tidak pernah berkongsi apa-apa maklumat berkaitan dirinya dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Menceritakan mengenai kedatangan Lim ke rumah mereka pada Ogos 2017, Geethanjali berkata Gnanaraja telah mengejutkan beliau daripada tidur lebih kurang jam 2 pagi dan memintanya bersiap kerana ada tetamu datang.

“Saya dimaklumkan oleh suami saya bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang telah sampai. Saya kemudian mengejutkan ibu saya yang ketika itu sedang tidur di bilik beliau. Selepas selesai bersiap, kami turun ke tingkat bawah untuk berjumpa dengan YB Lim.

“Kemudian suami saya memperkenalkan saya kepada Lim dan seorang lagi individu bernama Datuk Zarul. Saya sahkan saya mengenali Datuk Zarul sebelum ini kerana beliau pernah datang ke rumah untuk berurusan dengan suami saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.

Geethanjali, yang menjalankan perniagaan berkaitan filem dan ‘talent organisation’ bersama Gnanaraja, berkata dalam perjumpaan itu Lim ada bertanya khabar dan mereka hanya berbual-bual kosong sebelum ada seorang individu telah meminta beliau, suami dan ibunya untuk bergambar dengan Lim.

“Saya juga mengesahkan bahawa Datuk Zarul yang mengambil semua gambar menggunakan telefon bimbitnya di beberapa sudut dalam rumah saya dan ia berlaku secara spontan. Datuk Zarul kemudian menghantar gambar berkenaan kepada suami saya sebagai simpanan.

“Seingat saya, terdapat lebih kurang enam hingga tujuh keping gambar yang telah diambil oleh Datuk Zarul ketika itu,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Saksi pendakwaan pertama itu turut memaklumkan bahawa selepas gambar diambil, Gnanaraja telah meminta beliau serta ibunya untuk beredar kerana ahli perniagaan tersebut perlu berbincang perkara sulit dengan Lim dan Datuk Zarul.

“Saya hanya mengikut arahan suami. Saya dan ibu saya telah beredar dari sana dan masuk ke bilik semula untuk sambung tidur. Saya sahkan selepas itu, saya tidak mengambil tahu apa-apa maklumat yang dibincangkan oleh suami saya dan YB Lim. Suami saya tidak pernah berkongsi apa-apa maklumat lain berkaitan suami dan YB Lim.

“Seingat saya, YB Lim hanya pernah datang sekali sahaja ke rumah saya dan Datuk Zarul pula pernah hadir beberapa kali ke rumah saya atas urusan perniagaan dengan suami saya. Saya tidak tahu apa urusan mereka bersama suami dan saya tidak pernah menjemput YB Lim datang ke rumah selain saya juga bukanlah peminat atau penyokong YB Lim. Saya mengambil gambar dengan YB Lim kerana suami saya meminta saya mengambil gambar sebagai kenangan,” katanya.

Semasa disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim, saksi itu berkata suaminya mempunyai ramai kenalan ahli politik dan kebanyakannya pernah datang ke rumah mereka.

Pada prosiding hari ini, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Saadon Abd Samad, 34, turut memberi keterangan sebagai saksi kedua pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu