Social
195

Gubah wang haram: Alvin Goh, adik mengaku tak bersalah

Kuala Lumpur – Ahli perniagaan, Alvin Goh dan adiknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menerima wang RM2.14 juta yang merupakan hasil daripada wang aktiviti haram dua tahun lalu.

Alvin Goh atau nama sebenarnya Goh Leong Yeong, 32, dan adiknya Goh Yeong Hui ,28, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh mereka sebagai pengarah syarikat Malaysia House Of Internet Sdn. Bhd. telah menerima wang RM2.14 juta menggunakan akaun syarikat Public Bank milik syarikat mereka daripada dua lelaki warga China.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Jalan Bukit Bintang, di sini antara 9 September hingga 7 November 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Subsekyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang dibaca bersama subseksyen 87(1)(a) akta yang sama.

Hukuman bagi subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada jumlah atau hasil daripada aktiviti haram jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Feng Kat mencadangkan jumlah jaminan RM300,000 untuk setiap seorang tertuduh bagi kesemua pertuduhan.

Menurut, Feng Kat jumlah yang dicadangkan itu adalah munasabah termasuk kes yang dilakukan kedua-dua tertuduh adalah serius dengan tertuduh pertama (Alvin) pernah mempunyai rekod melarikan diri dan pihak berkuasa terpaksa mengambil masa selama beberapa minggu untuk menangkapnya semula.

Bagaimanapun peguam Jacky Loi Yap Loong yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan RM30,000 kerana ia adalah tahap kemampuan tertuduh dan keluarga.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak hakim Sabariah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM200,000 bagi setiap seorang tertuduh dan menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan Alvin Goh kekal dalam tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959. – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu