Social
176

Gurau isu rogol: Polis terima 2 laporan

Shah Alam – Polis mengesahkan menerima dua laporan polis daripada seorang pelajar perempuan yang tular berhubung dakwaan gurauan guru sekolah yang menggalakkan pelajar-pelajarnya melakukan perbuatan merogol.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, laporan itu masing-masing berkaitan pendekatan guru itu tidak sesuai dan gurauan daripada rakan sekelas yang tidak boleh diterima (ugutan merogol).

“Kedua-dua laporan itu disatukan dan kita telah mengambil keterangan daripada guru sekolah dan pengadu.

“Sekarang ini, kita sedang giat mengambil rakaman percakapan rakan sekelasnya sebagai keterangan tambahan dan sokongan untuk dikemukan kepada jabatan peguam negara,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan kes seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani di sebuah sekolah didakwa bergurau keterlaluan apabila menggalakkan pelajar-pelajarnya melakukan perbuatan merogol.

Perkara itu tular menerusi pengguna Twitter bernama Ain apabila menyatakan
kejadian itu berlaku Jumaat lalu ketika kelasnya sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan guru lelaki berkenaan.

“Bagaimanapun, perlahan-lahan gurauan itu menjadi semakin pelik dan lucah. Kemudian, kami bercakap mengenai terdapat pelbagai undang-undang yang melindungi kanak-kanak bawah umur daripada penderaan dan gangguan seksual.

“Guru itu kemudian berkata, jika pelajar-pelajar nak rogol, janganlah rogol yang bawah 18 tahun, rogol yang 18 tahun ke atas,” katanya menerusi satu video TikTok sebelum dimuat naik ke laman Twitter . – Kosmo Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu