Social
202

Guru agama mengaku tak bersalah

Melaka – Seorang guru agama di sebuah madrasah di Telok Mas, dekat sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, kerana mendatangkan kecederaan terhadap pelajarnya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), Ahad lalu.

Mohamad Haslam Abdul Salam, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Haslam didakwa menyebabkan cedera di bahagian belakang badan serta kedua-dua tangan dan kaki Muhammad Sawfi Razali, 21, dengan menggunakan sebatang penyapu di Jalan GB 5, Taman Gadong Bahagia, di sini, pada jam 7 pagi, 22 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, N Sivasangari mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 namun peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh yang mewakili tertuduh, merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung tiga orang anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sepanjang tempoh perbicaraan serta menetapkan 27 September ini untuk sebutan semula kes, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu