Nation
69
0

Guru berisiko tinggi akan diutamakan terima vaksin COVID-19

Sungai Besar – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengutamakan guru yang berisiko tinggi untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 sekiranya permintaan supaya golongan itu dimasukkan dalam kelompok penerima fasa pertama yang bermula Rabu ini, diluluskan.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya, berkata KPM sedang berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya guru dipertimbang sebagai penerima vaksin fasa pertama memandangkan sesi persekolahan akan bermula Mac ini.

“Sekiranya permohonan ini diluluskan, kementerian akan memberi keutamaan kepada guru-guru yang berisiko tinggi untuk mendapat suntikan vaksin itu,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata pihaknya menerima banyak permohonan daripada pihak yang mahu mereka dipertimbang sebagai penerima vaksin fasa pertama termasuk golongan pendidik.

Permohonan berkenaan katanya dilihat munasabah memandangkan sekolah akan dibuka semula pada Mac ini.

Bagaimanapun Khairy yang juga merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata pihaknya berdepan kekangan kerana bekalan vaksin bagi fasa pertama hanya berjumlah kira-kira satu juta dos dengan sebahagian pendaftaran membabitkan 500,000 barisan hadapan dalam sektor kesihatan dan bukan kesihatan.

Oleh itu, Khairy meminta supaya KPM menyenaraikan guru-guru berisiko tinggi supaya mereka menerima vaksin menjelang pembukaan sekolah Mac ini. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu