Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Social

Guru besar dipenjara, denda

Kuantan – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM20,000 ke atas seorang guru besar selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan melantik syarikat milik isterinya dalam urusan berkaitan sukan perahu layar, kira-kira lapan tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain turut memerintahkan tertuduh Khairul Azizi Ab Aziz, 55, dihukum penjara tambahan selama 12 bulan, jika tertuduh yang beralamat di Pulau Tioman, Rompin gagal menjelaskan denda tersebut.

Khairul Azizi didakwa melakukan kesalahan itu semasa berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan Cherating di sini, dengan mencadangkan syarikat milik isterinya, Sueazizi Enterprise kepada guru besar sekolah tersebut bagi urusan bayaran pesanan sekolah.

Ia melibatkan bayaran berkaitan peruntukan perahu layar bagi latihan Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) bernilai RM1,200 pada 19 Mac 2014 dan bayaran RM700 bagi program perahu layar anjuran Kementerian Pendidikan pada 15 Dis 2014.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan bahawa dirinya telah berkhidmat dalam bidang pendidikan selama 31 tahun dan dilantik sebagai guru besar pada tahun 2016.

“Kesalahan dilakukan semasa saya guru penolong kanan dan semasa itu, tidak pernah mengikuti apa-apa kursus formal berkaitan pengurusan kewangan kerajaan. Sebagai jurulatih MSSP, saya cuba memaksimumkan nilai ringgit yang diperuntukkan bagi memastikan sukan perahu layar berada di landasan yang betul.

“Murid yang terlibat datang dari pelbagai daerah seperti Rompin, Jerantut, Bentong dan Kuantan. Saya mengorbankan masa dan wang ringgit membantu mereka kerana ada yang datang daripada keluarga susah sedangkan sukan perahu layar agak mahal.

“Sepanjang saya menguruskan sukan ini sejak tahun 2010 hingga sekarang, sukan pelayaran telah melahirkan ramai atlet termasuk ke peringkat Olimpik di Jepun tahun lepas,” katanya yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung.

Khairul Azizi juga memaklumkan tidak pernah mengulangi kesilapan itu dan mengikuti setiap tatacara pengurusan kewangan kerajaan setelah dia mengikuti kursus berkaitan hal tersebut selepas bergelar guru besar.

Selain itu, dia juga memohon ihsan mahkamah menjatuhkan hukuman rendah kerana dirinya menanggung beban hutang dalam menyara isteri yang kini tidak bekerja dan dua anak yang masih belajar di institusi pengajian tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin, lapor Bernama.

Tags: , , , ,