Nation
171

Guru didakwa keluar kata-kata tidak wajar ditempatkan di JPN Selangor

Kuala Lumpur – Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA), Selangor yang didakwa seorang murid mengeluarkan kata-kata tidak wajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran, kini ditempatkan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga siasatan kes itu selesai.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan menyebut tindakan seterusnya bergantung kepada hasil siasatan kes berkenaan selepas laporan polis dibuat murid terbabit pada 24 April lepas.

Kementerian itu juga meneliti secara terperinci perkara yang tular mengenai komen didakwa dibuat pengetua SMKPA terhadap murid tersebut melalui laman Facebook.

“KPM mengesahkan satu laporan polis dibuat pengetua berkenaan di Balai Polis Kuala Selangor yang menafikan beliau memuat naik komen berkenaan dan mengesyaki akaun Facebook miliknya telah digodam,” menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu juga, KPM menjelaskan Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama yang diterima murid berkenaan secara umumnya dikeluarkan bagi memastikan ibu bapa atau penjaga dan pihak sekolah mengetahui dan cakna mengenai kehadiran serta keberadaan murid semasa sesi persekolahan.

Menurut KPM, pemantauan kehadiran murid ke sekolah dilaksanakan melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

Kenyataan itu menyebut surat pemberitahuan dikeluarkan sekiranya murid tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut atau 10 hari tidak berturut-turut tanpa mengemukakan sebab secara bertulis kepada pihak sekolah dan guru.

“Selain itu, tindakan ini juga membolehkan KPM memantau kemungkinan berlaku keciciran dalam kalangan murid dan mengambil tindakan intervensi sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan bagi tempoh 16 hingga 30 April lepas, sekolah itu mengeluarkan enam Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama kepada ibu bapa atau penjaga apabila anak mereka tidak hadir ke sekolah tanpa sebab.

Kenyataan itu menyebut kementerian sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan murid serta seluruh warga sekolah.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai seorang pelajar perempuan yang mendakwa guru sekolahnya membuat jenaka berhubung isu rogol. – Bernama

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu