Social
250

Guru, kakitangan sekolah diarah kuarantin

Kajang – Seramai 20 guru dan kakitangan sekolah kebangsaan di sini, diarah kuarantin berikutan seorang guru sekolah itu dikesan positif Covid-19.

Guru terbabit dikatakan mendapat jangkitan daripada abangnya sebelum disahkan positif, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes berkenaan didaftarkan di Sepang, Selangor mengikut alamat tempat tinggalnya.

Menurutnya, beliau kali terakhir ke sekolah pada 23 Februari lalu bagi membuat persiapan persekolahan.

“Beliau dijangkiti Covid-19 daripada abangnya yang disahkan positif pada tarikh berkenaan.

“Pada hari sama, beliau menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin sehingga mendapat keputusan positif pada 1 Mac,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, susulan itu 20 kontak beliau ketika di sekolah sudah menjalani ujian calitan dan diarah kuarantin.

“Bagaimanapun, tiada murid yang terdedah kepada kes berkenaan,” katanya.

Difahamkan, kesemua guru dan kakitangan terbabit dikuarantin bermula semalam sehingga 8 Mac ini. – Harian Metro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu