Kuala Lumpur Post

Social

Guru maut dirempuh lori balak

TEMERLOH — Kegigihan seorang guru berulang-alik lebih 100 kilometer setiap hari, demi mendidik anak bangsa, berakhir dengan tragedi apabila maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke sekolah awal pagi ini.

Dalam kemalangan jam 6.40 pagi di Kilometer 2 Jalan Temerloh-Mentakab itu, guru Sekolah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Jerantut, R Ganasan, 44, mati di tempat kejadian selepas kereta dipandunya dilanggar lori balak.

Ketika kejadian, mangsa yang memandu kereta Perodua Viva dalam perjalanan ke sekolah yang terletak kira-kira 60 kilometer dari sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Roslee Omar, berkata siasatan awal mendapati guru itu sedang memandu dari arah Mentakab menghala ke Jerantut.

“Apabila tiba di tempat kejadian, sebuah lori yang keluar dari simpang Taman Sri Semantan telah melanggar kereta tersebut yang sedang bergerak lurus.

“Akibat pelanggaran, guru yang beralamat di Taman Saga Damai, Mentakab, maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala.

“Pemandu lori berusia 58 tahun beralamat di Pekan, Pahang tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima kecemasan mengenai kejadian itu.

“Setiba di tempat kejadian, Pegawai Operasi BBP Temerloh, Khairul Azzahar Karim mengesahkan kemalangan tersebut membabitkan dua buah kenderaan, iaitu lori balak tanpa muatan dan sebuah kereta jenis Perodua Viva.

“Anggota bomba terus melakukan penugasan mengeluarkan mangsa lelaki yang pemandu kereta itu yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas menyelamat,” katanya, lapor BH Online.