Kuala Lumpur Post

Social

Guru mengaku tidak bersalah ceroboh pejabat bekas teman lelaki

SLIM RIVER — Seorang guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menceroboh pejabat bekas teman lelakinya Mac lepas.

N Retha, 41, didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan bilik pejabat P Navaneeth, 35, kira-kira 3 petang di sebuah klinik dalam daerah Muallim pada 3 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melarang tertuduh mendekati mangsa hingga kes selesai.

Peguam N Villasini memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya ibu tunggal kepada anak berusia 14 dan 16 tahun, bapa menghidap penyakit jantung dan berkhidmat sebagai guru selama 21 tahun.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa hingga kes selesai dan menetapkan 18 Okt ini sebutan semula kes.