Nation
258
0

Guru, pendidik perlu diberi keutamaan terima vaksin

Kuala Lumpur – Kumpulan guru dan pendidik perlu diberi keutamaan dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, demikian pandangan Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN) dan Persatuan Farmasi Malaysia (PFM).

Presiden PIBGN, Datuk Mohamad Ali Hasan dan Presiden PFM Amrahi Buang dalam kenyataan bersama memaklumkan, keutamaan ini wajar agar sekolah-sekolah boleh dibuka semula dan demi memastikan persekitaran selamat untuk anak-anak serta memberikan kestabilan ekosistem pendidikan.

“Tindakan ini akan mengurangkan kebimbangan dan keresahan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah masing-masing.

“Pengambilan vaksin ini akan meningkatkan keyakinan dan semangat guru-guru untuk kembali mengajar anak murid mereka di sekolah tanpa merasa khuatir sekiranya mereka yang jadi penyebab para pelajar dijangkiti,” menurut kenyataan itu.

Mereka berkata, suntikan vaksin COVID-19 tidak melibatkan individu berumur 18 ke bawah buat masa ini dan disebabkan itu, murid perlu dilindungi melalui pemberian vaksin kepada guru-guru yang mengajar mereka.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memulakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini dengan sasaran sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin secara percuma membabitkan tiga fasa. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu