Kuala Lumpur Post

Social

Guru pendidikan jasmani didakwa salah guna kuasa

BUTTERWORTH — Seorang bekas guru pendidikan jasmani dan kesihatan sekolah menengah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mencadangkan syarikat sendiri sebagai pembekal peralatan sekolah pada 2017.

Hazlina Kasah, 46, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena.

Bagi pertuduhan pertama, Hazlina dituduh sebagai pegawai pendidikan siswazah gred DG48 di sekolah itu telah menggunakan kedudukkan sebagai ketua panitia pendidikan jasmani dan kesihatan untuk mendapatkan suapan apabila mencadangkan Syarikat Hazwan Event Management milik sendiri sebagai pembekal.

Dia didakwa membekalkan 10 unit kertas A4, 30 unit pen penanda, satu unit radio, satu unit pengukur tekan darah, tiga unit kompas, dua unit penimbang, satu unit trampolin dan 10 unit kertas warna melalui nota minta bernombor K171D/17 yang bernilai RM2,353.66 pada 17 Okt 2017.

Pertuduhan kedua, Hazlina didakwa melakukan perbuatan sama dengan membekalkan lima unit bola sepak dan satu unit bola futsal melalui nota minta bernombor K171C/17 berjumlah RM522.66 kepada Syarikat Hazwan Event Management pada 19 Okt 2017.

Kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan itu berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan dokumen perjalanan diri kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat dengan tempat tinggal setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi kes.

Hazlina tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dkendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Azlan Basri.

Mahkamah menetapkan 27 Jun untuk sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh untuk melantik peguam, lapor Bernama.

Tags: ,