Kuala Lumpur Post

Social

Guru rugi lebih RM500,000 terpedaya sindiket scammer

KUANTAN — Seorang guru wanita di Raub kerugian RM527,733 selepas terpedaya dengan individu menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, mangsa berusia 51 tahun menerima panggilan telefon daripada pihak MCMC yang memaklumkan terdapat aduan terhadap nombor telefon mangsa pada 5 Ogos lalu.

Katanya, panggilan telefon itu disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai pegawai polis.

“Suspek telah mengatakan bahawa mangsa mempunyai barang yang menyalahi undang-undang dan terbabit dengan pengubahan wang haram iaitu mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

“Mangsa telah diarahkan untuk membuka akaun bank baru bersama kad mesin automatik mesin (ATM) dengan nombor pin yang diberikan suspek.

“Dalam tempoh 9 Ogos hingga 13 September lalu mangsa diminta memindahkan semua wang simpanan dan wang hasil jualan barang kemas ke akaun bank itu bagi tujuan siasatan.

“Mangsa juga diarahkan untuk membuat pinjaman peribadi berjumlah RM250,000 daripada sebuah bank dan dimasukkan ke dalam akaun bank itu.

“Suspek telah meminta mangsa meletakkan kad ATM itu di lokasi yang diberikan. Siasatan mendapati sumber wang kerugian ini adalah wang simpanan, barang kemas dan pinjaman peribadi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kes itu, beliau menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi berkenaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

“Masyarakat juga diingatkan sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya.