Social
188

Guru rugi lebih RM60,000 akibat Love Scam

Alor Setar – Seorang guru wanita kerugian RM63,440 akibat terpedaya dengan Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi Instagram, sejak April lalu.

Mangsa berusia 43 tahun yang sudah bercerai itu berasal dari Sik dan mengenali suspek melalui Instagram dua bulan lalu sebelum berhubung melalui WhatsApp.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar, berkata suspek memperkenalkan diri sebagai Mohammed Zamzuree yang berasal dari United Kingdom.

Beliau berkata, suspek memberitahu dia ada mengirim barang kepada mangsa iaitu beg tangan, kasut, jam tangan dan satu set perhiasan serta telefon bimbit kepada mangsa.

“Mangsa kemudian dihubungi individu yang mengaku sebagai `pegawai’ Kastam KLIA dan memaklumkan ada barangan yang dikirim suspek dan meminta mangsa membuat bayaran cukai bagi melepaskan barangan itu.

“Disebabkan percaya dengan apa yang diberitahu `pegawai’ itu, mangsa membuat pemindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun bank yang diberikan suspek pada Mei lalu sebanyak tujuh kali transaksi berjumlah RM63,440,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Elias berkata, semua wang berkenaan adalah wang simpanannya sendiri.

Beliau berkata, penipuan ini mula disedari mangsa selepas menceritakan perkara itu kepada adiknya.

“Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Nerang, kelmarin.

“Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu),” katanya. – BH Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu