Kuala Lumpur Post

Social

Guru tadika tampar murid dipenjara 2 bulan

KLANG — Seorang guru tadika swasta dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan menampar muridnya yang berusia empat tahun, bulan lalu.

“Saya minta maaf, saya tertampar,” kata M Malini, 25, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Siti Zubaidah Mahat.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 13 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja telah mencederakan kanak-kanak lelaki itu, dengan cara memukul pipi dan belakang badan mangsa di sebuah tadika di Jalan Pandamaran, pada jam 9.36 pagi, 13 Mei lalu.

Kesalahan didakwa dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.