Kuala Lumpur Post

Social

Guru Taska didakwa abai kanak-kanak hingga mati lemas

IPOH — Seorang guru sebuah taska didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak di bawah jagaannya sehingga menyebabkan mangsa mati lemas pada April lepas.

S. Esther Christina, 58, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Tertuduh yang pada masa itu didakwa mempunyai pemeliharaan ke atas V. Thanes Nair, 4, telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang tidak berpatutan.

Kesalahan itu dilakukan di kolam renang The Centro Club, Bandar Baru Sri Klebang di sini kira-kira pukul 10.20 pagi pada 17 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syahirah Azahar menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 namun, peguam Gary Xavier yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah atas alasan guru itu baru kematian suami dan hanya berpendapatan RM2,200 sebulan serta masih menanggung ibunya yang berusia 80 tahun selain memberikan kerjasama semasa siasatan.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 23 April lepas, kanak-kanak itu meninggal dunia setelah enam hari bertarung nyawa di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Ibunya D. Nilaveni, 40, yang juga seorang peniaga dilaporkan mendakwa tadika swasta itu cuai dan gagal memantau anak lelakinya sehingga terjatuh ke dalam kolam renang bersebelahan premis berkenaan sehingga menyebabkan kematian anak tunggalnya.

Nilaveni turut dilihat hadir dengan wajah sugul di mahkamah serta mengendong anak patung serta membawa beg kanak-kanak bersama botol susu dipercayai milik mendiang anaknya.

Sebelum ini, tular video tindakan ibu bapa kanak-kanak itu berjalan kaki tanpa kasut dari Bandar Baru Sri Klebang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dengan memegang sepanduk “Justice For Thanes” mengundang perhatian netizen apabila memaklumkan berbuat demikian demi menuntut keadilan kematian anak mereka, lapor Bernama.

Tags: , ,