Nation
208

Guru tolak vaksin : KPM beri tempoh sehingga 1 Nov

Kuching – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tempoh sehingga 1 November ini sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap guru yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata ia selaras ketetapan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengkehendaki semua penjawat awam patuh kepada pekeliling mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 sebelum 1 November atau berdepan tindakan tatatertib.

Susulan pengumuman JPA itu. katanya, ada guru yang sebelum ini enggan divaksin mengubah fikiran dan setuju menerima dos pertama.

“Senarai guru yang enggan divaksin turut berubah dan kita terus memantau perkembangan semasa.

“Kumpulan guru enggan divaksin boleh menjejaskan operasi sekolah dan tindakan segera perlu diambil termasuk menukar guru terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Samariang di sini, hari ini.

Radzi berkata, pertukaran itu perlu dilakukan bagi memastikan pembelajaran murid tidak terjejas, selain memastikan guru yang lengkap divaksin tidak terkesan.

“Sebagai contoh, murid berkeperluan khas memerlukan guru berdamping dengan mereka sepanjang masa.

“Jika ada kalangan guru (mengajar murid berkeperluan khas) enggan divaksin, tentu ia akan menjejaskan operasi sekolah kerana kita berpegang kepada prinsip asas iaitu jika tidak divaksin, tidak boleh mengajar secara bersemuka,” katanya.

Mengenai program imunisasi pelajar berusia 12 hingga 17 tahun, beliau berkata, secara keseluruhannya 80 peratus sudah menerima dos pertama malah ada negeri yang sudah mencapai 90 peratus.

Radzi berkata, sebahagian besar pelajar Tingkatan Lima dan Enam sudah lengkap vaksinasi dan KPM berpuas hati apabila proses imunisasi berjalan lancar.

“Bagi vaksinasi pelajar sekolah rendah, kita akur dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ketika ini KKM menjelaskan tiada vaksin sesuai untuk kanak-kanak bawah 12 tahun dan jika ada, KKM bersedia memberi vaksin kepada golongan itu, kami akan bekerjasama penuh,” katanya.

Mengenai isu sekolah daif, beliau berkata KPM perlu menyelesaikan perkara asas terlebih dahulu iaitu berkaitan status pemilikan tanah.

Katanya, aspek pemutihan tanah perlu diselesaikan kerana tanpa penukaran hak milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, bangunan sekolah tidak boleh dibina di kawasan dinyatakan.

“Begitu juga isu sekolah yang perlu dibina baharu. Ia bukan sahaja membabitkan sekolah yang daif struktur fizikalnya tetapi ada sekolah yang masih elok namun kerap berdepan masalah banjir selain berlaku pergerakan tanah di tapak,” katanya, lapor BH Online.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu