Nation
2K

Had 2 jam pelanggan di premis runcit dipantau MySejahtera

Putrajaya – Tempoh dua jam maksimum yang dihadkan untuk setiap pelanggan berada dalam premis peruncitan, akan dipantau menerusi aplikasi MySejahtera yang diimbas orang ramai sebelum memasuki premis berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pelaksanaan itu adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sektor perdagangan pengedaran dan akan berkuat kuasa esok.

Beliau berkata, pada aplikasi MySejahtera sudah diletakkan masa yang boleh dirujuk pelanggan, selain melakukan pematuhan secara kendiri.

“Kementerian juga memohon kerjasama semua pemilik premis untuk mengingatkan dan memantau pelanggan supaya patuh had masa ditetapkan.

“Penguat kuasa KPDNHEP akan ditugaskan bagi memantau premis perniagaan yang dikenal pasti dan menjadi tumpuan ramai pembeli bagi mengekang pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya, hari ini.

Semalam, dalam satu kenyataan, Alexander mengumumkan KPDNHEP akan menguatkuasakan SOP PKP 3.0 Sektor Perdagangan Pengedaran bermula esok, susulan keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pengurusan COVID-19 bagi memperketatkan pelaksanaan PKP 3.0.

Ia antara lain menetapkan waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan antara jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Selain itu, beliau menjelaskan, kanak-kanak bawah usia 12 tahun tidak digalakkan dibawa ke premis peruncitan bagi tujuan keselamatan, bukannya langsung tidak dibenarkan.

“Kerajaan prihatin dan mengambil kira ada sebahagian penjaga terdiri daripada ibu tunggal yang tiada tempat untuk meletakkan anak ketika membeli barangan di pasar raya.

“Sekiranya ada saudara mara yang boleh menjaga kanak-kanak ini, lebih baik ditinggalkan bersama mereka buat sementara demi menjaga keselamatan kanak-kanak terbabit,” katanya.

Sementara itu, bagi aktiviti premis makanan yang menyediakan layanan ‘dine-in’ dalam kereta, Alexander berkata, ia adalah tidak dibenarkan.

“Orang ramai dan pengusaha premis makanan dinasihatkan supaya menghentikan aktiviti ini supaya tidak dikenakan tindakan. Makanan hanya dibenarkan bawa pulang supaya tidak dikenakan tindakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, KPDNHEP akan menjalankan siasatan selepas menerima aduan berhubung kenaikan harga barangan secara mendadak di Perak sepanjang PKP dilaksanakan.

Katanya, KPDNHEP akan membuat pengesanan melalui sistem sedia ada dan sekiranya kenaikan harga oleh peniaga dilakukan secara tidak munasabah, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka.

“sekiranya kenaikan harga itu munasabah, kementerian akan membantu peniaga dan pengguna bagi menyelesaikan masalah itu supaya mereka tidak terbeban,” katanya. – BH Online

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu