Nation
382

Hak Agong panggil mana-mana pemimpin politik : Tun M

Kuala Lumpur – Adalah menjadi hak Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil mana-mana pemimpin politik mengikut keperluan bagi mendapatkan pandangan berkaitan keadaan semasa negara, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata pemimpin utama parti-parti politik negara dipanggil menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah atas keputusan Seri Paduka untuk mendengar dan mendapat pandangan daripada mereka.

“Itu hak Agong nak jumpa dengan sesiapa kalau perlu jumpa dengan semua, itu keputusan baginda. Sebab (alasan dipanggil menghadap) itu terpulang kepada Agong. Saya tak tahu sebab apa mungkin nak tahu kedudukan dan pandangan daripada pemimpin-pemimpin politik ini,” katanya dalam sidang media secara maya semalam.

Mengulas majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung selama 45 minit, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata beliau mencadangkan penubuhan sebuah badan khas seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) diwujudkan untuk menangani empat isu utama yang sedang dihadapi Malaysia.

Isu berkenaan meliputi krisis kesihatan pandemik COVID-19 dan kesannya terhadap ekonomi, ketidakstabilan politik dan sosial.

Pemimpin parti politik termasuk pembangkang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berperingkat di Istana Negara bermula semalam manakala bagi pemimpin parti-parti politik di Sarawak, majlis menghadap diadakan secara dalam talian yang dijadualkan pada 14 Jun.

Dr Mahathir berkata Al-Sultan Abdullah turut bertanya pandangannya bilakah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sesuai diadakan.

“Baginda ada bertanya sama ada pilihan raya boleh diadakan tahun depan atau bila-bila masa. Saya berkata ia berbahaya untuk diadakan sekarang. Seperti apa yang berlaku di Sabah ketika pilihan raya negeri…akan ada peningkatan kes COVID-19,” katanya.

Beliau berkata negara perlu mencapai imuniti kelompok dalam pemberian vaksin COVID-19 sebelum PRU15 boleh diadakan.

“Apabila kita mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus rakyat diberi vaksin, maka agak selamat untuk mengadakan pilihan raya. Jika tidak, apa yang berlaku di Sabah akan berulang,” katanya. — Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu