Nation
119

Hampir seluruh daerah di semenanjung kini zon merah : KP Kesihatan

Kuala Lumpur – Hampir seluruh daerah di Semenanjung kini berstatus zon merah dan hanya tujuh daerah berstatus zon kuning berdasarkan data terkini pergerakan dalam tempoh 14 hari taburan kes COVID-19 mengikut daerah sejak 6 Mei hingga Rabu lepas (19 Mei).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan data dari Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) tiada lagi zon hijau di Semenanjung, manakala lapan daerah dikategorikan sebagai zon jingga mempunyai 21 hingga 40 kes, dalam tempoh sama.

Daerah dikategorikan sebagai zon kuning ialah Perak Tengah; Sik (Kedah); Gua Musang (Kelantan); Kemaman dan Hulu Terengganu (Terengganu); Cameron Highlands (Pahang) dan Mersing (Johor).

Bagi zon jingga pula direkodkan di daerah Kampar di Perak; Kangar (Perlis); Padang Terap dan Langkawi (Kedah); Bera, Maran dan Rompin (Pahang) dan Kuala Pilah (Negeri Sembilan), katanya.

Berdasarkan infografik dikongsikan menerusi akaun Twitter beliau, Selangor merekodkan kes tertinggi sebanyak 21,343 kes diikuti Kuala Lumpur (6,100), Johor (5,148), Kelantan (4,498), Pulau Pinang (3,681), Kedah (2,983), Negeri Sembilan (1,856), Pahang (1,469), Terengganu (1,401), Melaka (1,231), Putrajaya (162) manakala Perlis merekodkan 22 kes.

Bagi Sarawak yang merekodkan 6,456 kes, lima daerah masih merekodkan zon hijau iaitu Simunjan, Asajaya, Kabong, Marudi dan Telang Usan, manakala sembilan daerah dikategorikan zon kuning iaitu Limbang, Lundu, Lawas, Dalat, Daro, Julau, Lubok Antu, Matu dan Tanjung Manis.

Selain itu, dua daerah pula dikategorikan sebagai zon jingga iaitu daerah Tatau dan Bukit Mabong.

Bagi Sabah, sebanyak tujuh daerah masih berada dalam zon hijau iaitu Tambunan, Kudat, Nabawan, Pitas, Tongod, Telupid dan Beluran manakala sembilan daerah berada dalam zon kuning iaitu Tuaran, Beaufort, Kota Belud, Sipitang, Ranau, Kota Marudu, Tenom, Keningau dan Kuala Penyu.

Sabah yang merekodkan sebanyak 1,120 dalam tempoh ini turut merekodkan hanya daerah Putatan berada dalam zon jingga.

Bagi kategori zon hijau tiada kes direkodkan, zon kuning bagi kawasan merekodkan satu hingga 20 kes, zon jingga mencatat antara 21 hingga 40 kes manakala zon merah melibatkan 41 kes ke atas.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sehingga semalam (20 Mei), kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19 secara keseluruhannya di seluruh negara mencapai 83 peratus.

“Sistem kesihatan negara menghadapi tekanan amat besar dan memerlukan bantuan anda untuk memutuskan jangkitan COVID-19,” katanya. – Bernama

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu