Nation
198

Harga baharu minyak masak diumum minggu depan

Kuantan – Kerajaan akan mengumumkan harga baharu bagi minyak masak botol lima kilogram dan dua kilogram minggu depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, harga baharu itu hasil perbincangan antara kementeriannya dan tiga kementerian lain.

“Pengumuman atau berita baik akan disampaikan dalam masa terdekat. Dalam masa seminggu lagi akan diumumkan sama ada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz atau Menteri (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi).

“Kita tahu masalah kenaikan minyak telah timbul beberapa minggu lalu, namun kita yakin dengan pengumuman harga baharu itu nanti memberi kelegaan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melawat kedai D’Mart Felda Bukit Goh, di sini hari ini.

Sabtu lalu, beliau mengadakan perbincangan membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Kewangan bagi membincangkan isu berkenaan.

Terdahulu, terdapat beberapa laporan akhbar tempatan menyiarkan rungutan kenaikan harga minyak masak lima kilogram yang mencecah RM30 setiap botol.

Dalam pada itu, Rosol turut mengulas bahawa tidak timbul masalah kekurangan bekalan barangan seperti gula dan sayuran di pasaran berikutan ia hanya berpunca dipercayai daripada masalah logistik.

“Macam isu kekurangan bekalan gula, saya dimaklumkan ada masalah di kilang apabila terpaksa ditutup selepas ada pekerja mereka didapati positif Covid-19 dan bukannya bekalan gula tidak ada.

“Saya difahamkan perkara ini sudah selesai dan mereka (kilang) memberi jaminan bekalan sudah boleh diedarkan seperti biasa.

“Berkaitan isu kenaikan harga sayuran pula berlaku kerana ada kawasan seperti di Cameron Highlands yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), jadi berlaku masalah logistik dan kita juga sudah meminta kerjasama agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya dapat melonggarkan sedikit peraturan agar bekalan sayuran dari kawasan PKPD dapat dibawa ke luar untuk memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya melaporkan kepada KPDNHEP sekiranya berlaku kenaikan harga mendadak, bagi memudahkan tugas pemantauan dilakukan. — Utusan Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu