Social
210

Harga petak parkir RM1.2 juta

London – Sebuah petak parkir dijual pada harga £210,000 (RM1.2 juta) sekali gus antara paling mahal di Britain manakala kos tersebut hampir me­nyamai harga sebuah kediaman empat bilik di bandar Sheffield, England .

Tempat letak kereta tersebut terletak di Hyde Park Gardens, pusat bandar raya London , lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Harganya hampir menyamai harga purata sebuah rumah di Britain iaitu sekitar £239,000 (RM1.3 juta).

Tempat letak kenderaan itu datang bersama pajakan selama 85 tahun yang akan berakhir pada tahun 2104.

Pada harga tersebut, penduduk Britain boleh membeli sebuah rumah berkembar dilengkapi tiga bilik tidur di Harrogate, Yorkshire Utara atau memiliki rumah teres di Yorkshire Dales.

Biarpun harga petak parkir di Hyde Park Gardens itu dianggap mahal, ia sebenarnya murah jika dibandingkan dengan harga tempat letak kereta paling mahal di Britain.

Pada Januari lalu, sebuah petak parkir bawah tanah di Knightsbridge dijual pada harga £350,000 (RM1.99 juta).

Ruangan sepanjang 6 meter itu dilengkapi pembantu garaj harian dan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan terletak hampir dengan gedung beli-belah berprestij, Harrods.

Dengan perjanjian pajakan selama 25 tahun pada kadar 3.92 peratus, pembelinya akan membayar ansuran bulanan seba­nyak £1,649 (RM9,394) jika membuat bayaran deposit sebanyak £35,000 (RM199,398). –Agensi

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu