Kuala Lumpur Post

Nation

Harga telur ayam gred A,B,C turun 3 sen sebiji

KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata, harga telur di Sabah, Sarawak dan Labuan akan diselaraskan mengikut bahagian serta zon.

“Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada 2023 peruntukan subsidi telur ayam sebanyak RM927 juta,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, penurunan harga telur ayam selaras usaha kerajaan mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan sektor lain.

Menurutnya, kerajaan kekal komited menangani penyeludupan diesel dan berusaha mengimbanginya dengan bekalan serta kos sara hidup rakyat.

“Subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat selayaknya.

“Malah, kerajaan masih perlu menanggung sekitar RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia.

“Ingin saya tegaskan, masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat akan terus ditangani kerajaan secara lebih proaktif dan berkesan sambil berusaha sebaiknya dalam memampan dampak yang buruk ke atas kehidupan harian rakyat.”

Terdahulu, kerajaan mengumumkan harga diesel dinaikkan daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia mulai 10 Jun lalu. Harga diesel akan diumumkan setiap minggu menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Susulan penyasaran subsidi diesel mulai 10 Jun lalu, kerajaan memperkenalkan program bantuan subsidi Madani atau Budi Madani bagi golongan individu, petani, pekebun kecil serta syarikat dan kenderaan pengangkutan.

Di bawah inisiatif itu, petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan diesel persendirian kategori B40 akan menerima bantuan tunai bulanan RM200.