Nation
137
0

Harga vaksin COVID-19 dimaklumkan kepada PAC

Kuala Lumpur – Harga vaksin COVID-19 yang dibayar Malaysia kepada Pfizer-BioNtech dan AstraZeneca dimaklumkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam prosiding hampir tiga jam di Parlimen hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan perkara itu dalam prosiding rasmi PAC mengenai perolehan vaksin dan penggunaannya terhadap rakyat.

“Disebabkan tidak dapat mengumumkan harga secara teliti bagi setiap pembelian walaupun kita sudah umum harga keseluruhan tetapi saya membuat keputusan, dalam prosiding PAC, saya sudah mendedahkan harga pembelian kita secara terperinci.

“Saya juga mendedahkan dokumen kontrak antara syarikat Pfizer dan AstraZeneca bersama dengan kerajaan Malaysia kepada PAC tadi,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, harga bagi Pfizer adalah termasuk penghantarannya ke pelbagai kawasan untuk vaksinisasi, manakala bagi AstraZeneca tidak termasuk harga penghantaran.

Beliau menegaskan, walaupun tidak dipanggil oleh PAC, pihaknya mahu memastikan prinsip ketelusan dipenuhi dan sejauh mana maklumat yang boleh didedahkan dalam perjanjian antara kerajaan dan syarikat pembekal vaksin.

“Prosiding rasmi akan dilaporkan melalui laporan rasmi. Saya percaya, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh akan memaklumkan kepada media apabila laporan itu siap kelak,” katanya.

Ditanya sama ada keterangan yang diberikan kepada PAC itu melanggar syarat kerahsiaan atau perjanjian ketakdedahan (NDA) dengan syarikat pembekal, Khairy berkata, PAC adalah sebahagian daripada kerajaan dan pihaknya menganggap maklumat itu dikongsi dengan pegawai awam. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu