Nation
130

Hari Kebangsaan dalam norma baharu dirai penuh semangat

Putrajaya – Lokasi-lokasi strategik di Putrajaya untuk menyaksikan pertunjukan udara sempena Hari Kebangsaan 2021 hari ini, menjadi tumpuan orang awam yang ingin menyaksikan secara langsung aksi dan formasi aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika berada di ruang udara Putrajaya.

Antara yang menjadi pilihan adalah Dataran Putra, Dataran Putrajaya dan Jambatan Seri Perdana, yang mampu memberikan pemandangan yang jelas dan peluang untuk merakamkan aksi berkenaan.

Orang awam yang hadir di lokasi-lokasi berkenaan dengan ada yang membawa Jalur Gemilang dilihat bersemangat meraikan Hari Kebangsaan dalam norma baharu, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka, tidak berkumpul hingga mengabaikan penjarakan fizikal dan bersurai sebaik sahaja persembahan udara tamat.

Kereta peronda polis yang memantau turut memberi peringatan menerusi pembesar suara mengenai keperluan memakai pelitup muka dan menjaga jarak masing-masing, bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19.

Seorang pengunjung, Aza Abdul Murad, 39, berkata beliau datang ke Dataran Putra seawal 7.30 pagi, semata-mata untuk menyaksikan persembahan udara itu.

“Bunyi pesawat melintasi ruang udara seakan-akan bunyi kebebasan. Bunyi itu menakjubkan dan memberi semangat kemerdekaan,” kata anak kelahiran Pahang itu.

Aza yang mengalami kecederaan kaki baru-baru ini, namun tidak patah semangat untuk turun padang meraikan Hari Kebangsaan dalam norma baharu berkata: “Mesej saya kepada anak muda supaya perasaan untuk menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun tidak sesekali luntur, walau apa rintangan sekali pun.”

Formasi penerbangan pesawat pejuang membabitkan Sukhoi Su-30MKM, F/A 18D Hornet dan BAE Hawk 108, diketuai oleh Lt Kol Mohd Norazan Othman yang beraksi di ruang udara Putrajaya dalam cuaca yang baik selepas hujan dinihari berhenti, merupakan antara tarikan utama Hari Kebangsaan 2021.

Bagi Mohd Ashraf Mohd Noor, 52, walaupun hujan awal pagi tadi, tiga orang anaknya begitu teruja untuk datang ke Dataran Putra sejak semalam, untuk meraikan Hari Kebangsaan 2021.

“Setahun sekali kita meraikan kecintaan kepada negara dan setiap rakyat Malaysia perlu menzahirkan kegembiraan daripada dijajah sehingga mencapai kebebasan. Walaupun anak-anak tidak melalui sejarah itu, namun ibu bapa harus merangsang mereka, untuk menghargai nilai kemerdekaan,” katanya.

Bagi anak lelakinya Mohamad Mohd Ashraf yang berusia14 tahun, sebagai generasi muda erti kemerdekaan kepadanya adalah untuk bebas daripada pandemik COVID-19.

“Erti kemerdekaan itu adalah bebas daripada penjajah, tetapi sebagai anak muda erti itu pada kami ialah bebas daripada pandemik dan kembali kepada kehidupan seperti dahulu,” katanya.

Bagi pesara tentera udara Syamssul Anwar Zaini, 43, beliau dan keluarga lebih selesa menyambut Hari Kebangsaan di rumah, dengan menyaksikan acara sambutan menerusi televisyen, sambil menyorot kembali perjuangan terdahulu untuk negara bebas daripada penjajah, bersama ahli keluarga.

Menurut beliau sambutan tidak semestinya diraikan di tempat awam seperti tahun-tahun sebelumnya, malah ia boleh diraikan di mana-mana sahaja, dengan memakai pakaian kebangsaan atau pakaian yang melambangkan kemerdekaan.

“Perasaan saya dalam sambutan tahun ini mestilah disambut dengan penuh semangat yang tinggi, walaupun berdepan dengan pandemik COVID-19. Ia bukan alasan untuk tidak menyambutnya,” katanya.

Beliau turut berharap, generasi muda dapat meraikan Hari Kebangsaan setiap tahun dengan penuh bangga dan semangat patriotik yang tinggi.

“Walaupun kehidupan zaman ini serba mudah, namun tanpa pengorbanan orang-orang terdahulu, kita tidak akan merasainya pada hari ini,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu