Kuala Lumpur Post

Nation

Hari keputeraan Agong ke-17 pada 3 Jun, istiadat pertabalan pada 20 Julai

PUTRAJAYA — Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Fahmi mengumumkan perkara itu selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.

“Sebagaimana kita sedia maklum, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada hari Rabu, 31 Januari 2024.

“Sehubungan itu, kerajaan dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan melaksanakan acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya kepada media di sini pada Khamis.

Terdahulu Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rozainor Ramli mengumumkan pelantikan Fahmi sebagai Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.

Fahmi berkata, Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah pada 3 Jun 2024 dan tarikh itu telah diwartakan sebagai cuti umum.

“Bagaimanapun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 telah mengampuni limpah perkenan supaya acara-acara Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Baginda ditangguhkan dari bulan Jun ke bulan September.

“Ini bagi memberi keutamaan kepada Istiadat Pertabalan dan acara-acara lain Sempena Istiadat Pertabalan yang akan berlangsung pada bulan Julai,” katanya.