Nation
67

Hari Pekerja: NGO mahu kebajikan pekerja terus dipelihara berikutan Covid-19

Kuala Lumpur – Badan-badan bukan kerajaan (NGO) mahu kebajikan pekerja terus dipelihara dan ditambah baik ekoran impak pandemik COVID-19.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Adnan Mat dalam kenyataannya sempena sambutan Hari Pekerja 2021 menyambut baik usaha kerajaan dalam menyemak semula gaji minimum, bersesuaian dengan situasi semasa kos sara hidup dan ekonomi negara.

Beliau turut menekankan keperluan sistem saraan baharu untuk perkhidmatan awam dilaksanakan bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia yang telah diguna pakai sejak 2002 lagi.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie Mammal menerusi kenyataannya menyenaraikan 10 perkara bagi perhatian kerajaan dan majikan sebagai usaha memelihara kepentingan pekerja serta rakyat.

Antaranya, kesatuan itu mencadangkan keperluan kerajaan mengadakan sesi libat urus bersama pemimpin kesatuan sekerja dan merangka pelan atau model ekonomi baharu, mengambil kira kesan wabak COVID-19.

“Pelan atau ekonomi harus menyediakan kerangka upah yang lebih mesra pekerja dan peluang-peluang pekerjaan baharu di sebalik COVID-19 dan kehadiran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

“Perkara seterusnya, kerajaan perlu ada satu usaha menyeluruh untuk menangani isu integriti dan rasuah yang melibatkan sektor awam dan swasta di semua peringkat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata majikan dan kerajaan perlu berhenti menawarkan gaji atau upah yang terlalu rendah serta menggesa kerajaan menguatkuasakan mekanisme kawalan harga yang lebih efektif bagi menangani kesan kenaikan kos sara hidup.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2021 hari ini berkata kadar gaji minimum pekerja sedang dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosioekonomi semasa.

Muhyiddin berkata kerajaan juga dalam proses menambah baik dan meminda undang-undang perburuhan terutamanya Akta Kerja 1955 dengan meluaskan skop pemakaiannya.

Ia termasuk kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji, memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti bersalin selama tiga hari untuk suami, mengurangkan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu