Social
230

Helah tipu ibu terbongkar

Istanbul Р Seorang anak tergamak menipu ibunya dengan mengatakan dia menuntut di Universiti Oxford di United Kingdom (UK) untuk mendapatkan wang bagi menampung gaya hidupnya.

Sedangkan, wanita itu sebenarnya tidak pernah meninggalkan Turki dan bekerja sebagai ejen hartanah di sini.

The Sun melaporkan Merve Bozkurt, 25, memberitahu ibunya, Gulseren, 57, bahawa dia memerlukan duit lebih untuk membiayai pengajian di universiti terkemuka itu.

Ia menyebabkan wanita itu terpaksa bekerja keras dengan menjual bunga untuk menampung kos pengajian anaknya.

Hakikatnya, Merve bukan saja berbohong menjadi penuntut Universiti Oxford, malah tidak keluar dari Turki kerana tidak memiliki pasport.

Helahnya terbongkar apabila sebuah stesen televisyen tempatan menemu bual si ibu mengenai kegigihan mencari wang bagi membiayai pengajian anak.

Pengorbanan Gulseren menjadi tular dan dia menerima sumbangan bagi membantu Merve ‘menamatkan pengajian yang memasuki tahun kelima itu.’

Bagaimanapun, semakan mendapati nama Merve tidak ada di dalam senarai penuntut Oxford dan wanita itu didesak untuk menceritakan perkara sebenar.

Dia kemudiannya meminta maaf kepada orang ramai dan kesal kerana mengecewakan ibunya.

“Saya mereka-reka cerita dan membuat semua orang percayakan saya.

“Sebenarnya saya bekerja dengan syarikat hartanah di Istanbul selama ini,” katanya.

Sebelum ini, Gulseren menerusi wawancara disiarkan sebuah stesen televisyen tempatan berkata, dia mempunyai dua orang anak.

Katanya, selama lebih 10 tahun, dia menjual bunga di bandar Antakya dan membiayai pengajian mereka dengan cara itu.

Wanita itu berkata, suaminya tidak mempunyai kerja tetap dan kadang-kadang membantunya menjual bunga di kawasan perkuburan.

“Dengan duit itu, saya membiayai pendidikan anak-anak.

“Jika seseorang itu sihat, bekerja adalah perkara terbaik yang boleh dilakukan. Seronok dapat membelanjakan wang yang diperoleh untuk anak-anak,” katanya. – The Sun

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu