Kuala Lumpur Post

Nation

Henti bincang isu pengampunan Najib : PM Anwar

PUTRAJAYA — Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya semua perbahasan, perbincangan dan pandangan berhubung isu Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dihentikan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman kepada Najib Razak dibuat atas pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, keputusan Yang di-Pertuan Agong itu muktamad dan dibuat atas pertimbangan baginda sebagai mercu keihsanan.

“Kita faham orang mempunyai pandangan kuat dan tegas. Jadi, kita beri laluan sedikit tetapi selepas penjelasan dibuat, ia harus dihentikan.

“Yang di-Pertuan Agong memutuskan keputusannya itu muktamad atas pertimbangan yang besar, bukan undang-undang. Kerana itu, proses kehakiman dan pertimbangan utama adalah soal ihsan. Jadi, sama ada Yang di-Pertuan Agong memilih untuk beri penjelasan atau tidak, itu wewenang tuanku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.