Nation
140

HIDE boleh kenal pasti pusat beli-belah berisiko walau terdapat ‘blindspot’ : Khairy

Putrajaya – Sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), mampu mengenal pasti pusat beli-belah sebagai lokasi titik panas penularan jangkitan COVID-19, walaupun wujud titik buta (blindspot) dalam penggunaan sistem itu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, ‘blindspot’ berlaku apabila pengunjung tidak mengimbas kod QR MySejahtera, namun kebanyakan premis perniagaan telah didaftarkan di dalam sistem HIDE.

“HIDE akan membuat analisis daripada pendaftaran masuk pelanggan menggunakan MySejahtera. Itu sebabnya saya sering tekankan kepentingan mematuhi arahan mendaftar masuk menggunakan aplikasi itu,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini.

Khairy juga tidak menolak kemungkinan sesuatu premis perniagaan disenarai semula sebagai lokasi titik panas, sekiranya analisis sistem HIDE menunjukkan terdapat potensi berlaku semula situasi sama.

Dr Adham pula berkata, sistem HIDE itu menerima data dan maklumat secara harian daripada Pusat Kesediaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) Negeri.

“Pada masa sama, MySejahtera akan menghantar amaran kepada mereka yang didapati memiliki kenalan rapat, agar mereka memantau status kesihatan masing-masing setiap hari menggunakan HAT (Health Assessment Tool) di dalam MySejahtera,” katanya.

Dr Adham menasihatkan individu yang pernah mengunjungi premis perniagaan yang dikenal pasti lokasi titik panas penularan jangkitan COVID-19, untuk segera ke fasiliti kesihatan sekiranya tidak sihat.

Sekiranya positif, Dr Adham berkata Pusat Kesihatan Daerah akan menjalankan siasatan, pengesanan kontak, isolasi kes positif, kuarantin kontak rapat, penilaian risiko serta keperluan melakukan pembersihan atau disinfeksi.

Katanya arahan pembersihan dan disinfeksi boleh dilakukan berdasarkan penilaian risiko yang telah dijalankan berdasarkan Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – Bernama

Tags: , , , , , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu