Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

Hina agama Hindu: Pesawah didenda RM5,000

SHAH ALAM — Seorang pesawah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuat dan memulakan komunikasi jelik berunsur penghinaan terhadap agama Hindu di laman sosial Facebooknya, tiga tahun lepas.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas Mohammad Syafiq Iqbal Mohammad Helmi, 31, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan Mohammad Syafiq Iqbal menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Rasyihah turut menasihati OKS agar dia insaf dan tidak mengulangi kesilapan sama selain perlu berhati-hati dalam membuat hantaran di media sosial.

Dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi Facebook ‘Syafiq Iqbal’ dengan niat menyakitkan hati orang lain pada 11 pagi 23 Dis 2019.

Hantaran itu kemudian telah dibaca di Maxis Communications Bhd di Subang Jaya dekat sini pada 4.41 petang, hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Terdahulu, peguam Nurul Ikrimah Mohd Raya memohon agar Mohammad Syafiq Iqbal dikenakan denda minimum atas alasan OKS sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan serupa.

“OKS merupakan seorang pelajar yang cemerlang semasa zaman persekolahannya dengan memperoleh keputusan A bagi kesemua mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan Penilaian Menengah Rendah. Namun selepas ibubapanya berpisah, dia mengalami kemurungan yang teruk.

“Dia kini tinggal bersama ibu dan bapa tirinya di Sungai Besar. Selepas kejadian ini, OKS tidak lagi memiliki akaun media sosial dan tidak mempunyai telefon bimbit,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Fazril Sani pula memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira hantaran OKS yang boleh mendatangkan kekacauan di negara ini selain memberi pengajaran kepada orang awam agar tidak mengulangi kesalahan sama, lapor Bernama.

Tags: , , ,