Nation
95
0

Hospital Melaka masih mampu operasi walau 32 staf positif Covid-19

Melaka – Hospital Melaka masih mempunyai cukup kakitangan untuk mengendalikan operasinya termasuk kes Covid-19 meskipun 32 kakitangan hospital itu didapati positif wabak berkenaan, kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman.

Rahmad berkata Hospital Melaka masih mempunyai kakitangan untuk menggantikan tempat kakitangan yang didapati positif itu.

Menurutnya kesemua 32 kakitangan Hospital Melaka itu dikesan positif Covid-19 di bawah saringan Kluster Bukit Palah dan siasatan awal mendapati jangkitan berpunca daripada seorang pesakit dari Jempol, Negeri Sembilan yang dijangkiti wabak berkenaan  dan mendapat rawatan di institusi perubatan tersebut.

“Sehingga 12 tengah hari semalam (kelmarin), sebanyak 168 individu yang merupakan kontak rapat yang dijangkiti telah disaring dengan 55  daripadanya masih belum mendapat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Katanya kini Melaka mempunyai 15 kluster dan jumlah  positif Covid-19 di negeri itu sehingga kelmarin ialah sebanyak 3,078 kes dengan 1,299 kes aktif dan lapan kematian direkodkan.

Dalam perkembangan lain, Rahmad berkata dua pelajar tingkatan lima masing-masing daripada sekolah asrama di Bukit Piatu di sini, dan sekolah berasrama penuh di Jasin didapati positif Covid-19. ― Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu