Nation
672

HTAR nafi Jabatan Kecemasan dikosongkan ketika lawatan PM

Shah Alam – Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial mengatakan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu telah ‘dikosongkan’ kerana menerima lawatan daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata perkara itu adalah tidak benar kerana jabatan berkenaan sudah sememangnya penuh dengan pesakit yang setakat semalam, seramai 177 pesakit masih belum menerima rawatan.

Dr Zulkarnain memaklumkan trend semasa di Jabatan Kecemasan dan Trauma menerusi kes harian oleh Unit Pengurusan Katil adalah antara 150 hingga 180 pesakit.

Beliau berkata pemindahan pesakit COVID-19 ke Kompleks Rawatan Harian (ACC) yang ditukarkan fungsi sebagai Wad COVID-19 adalah pelan kontigensi yang diambil bagi Pengurusan Bencana Peringkat Hospital.

Katanya pada 8 Julai, Wad G2 dan G3 yang berdekatan dengan Jabatan Kecemasan dan Trauma telah dikenal pasti sebagai tempat yang boleh digunakan untuk merawat pesakit COVID-19.

Pada 9 Julai pula, Kompleks Rawatan Harian (ACC) telah dicadangkan untuk ditukarkan fungsinya sebagai wad merawat pesakit COVID-19 demi memastikan pesakit mendapat rawatan di dalam ruang yang selesa.

“Kriteria untuk menempatkan pesakit-pesakit COVID-19 ke Wad COVID-19 Berisiko Rendah adalah atas keputusan pihak pengurusan wad, dan ia bukan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma,” katanya.

Mengenai isu berkaitan doktor pelatih diarah untuk berpindah dari Asrama Doktor Pelatih, Dr Zulkarnain berkata mereka telah dipindahkan ke bangunan Asrama Pelajar Perubatan Universiti Malaya (UM) yang lebih selesa.

Beliau berkata ia bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan Blok A, B dan C Asrama Doktor Pelatih memandangkan Blok D Asrama Doktor Pelatih telah pun digunakan sebagai Pusat Saringan COVID (PSC) sejak April 2020.

Dr Zulkarnain berkata selepas semua pemindahan doktor pelatih ke Asrama Pelajar Perubatan UM selesai dilakukan pada 12 Julai, fungsi Blok A dan B Asrama Doktor Pelatih telah ditukarkan kepada Wad COVID-19 Berisiko Rendah, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu