Nation
188

Hujan berintensiti tinggi punca kejadian kepala air : MetMalaysia

Kuala Lumpur – Fenomena kepala air yang berlaku di daerah Yan, Kedah semalam antaranya disebabkan hujan dengan kadar atau intensiti tinggi di hulu sungai serta kawasan tanah tinggi, menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah.

Beliau berkata, ia menyebabkan akar pokok atau kawasan tadahan air tidak dapat menampung atau menahan air tersebut untuk diserap ke dalam tanah, yang akhirnya menyebabkan limpahan.

Jelasnya kejadian hujan lebat dan ribut petir yang berlaku di beberapa daerah di negeri Kedah termasuk Yan semalam, adalah berikutan daripada penerimaan tiupan angin dari arah barat laut yang membawa kelembapan tinggi dari Laut Andaman.

“Ini menyumbang kepada pembentukan awan aktif di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beberapa kawasan kampung dan taman perumahan di sekitar Gunung Jerai dilanda banjir dipercayai akibat kejadian fenomena kepala air petang semalam dan telah meragut empat nyawa.

Sementara itu, Muhammad Helmi berkata corak cuaca lembap dan hujan lebat di negara ini dijangka berterusan sepanjang minggu ini.

Beliau berkata Malaysia sedang berada dalam tempoh Monsun Barat Daya yang telah bermula 19 Mei lalu dan dijangka berakhir pada minggu kedua atau ketiga September ini.

“Dalam tempoh ini, lazimnya keadaan atmosfera di rantau negara adalah stabil dengan kelembapan yang rendah, menyebabkan kurang pembentukan awan hujan dan menyumbang kepada taburan hujan rendah.

“Namun, adalah biasa untuk negara mengalami keadaan tempoh monsun melemah,” katanya.

Katanya keadaan itu berlaku apabila terdapat perubahan tiupan arah angin memasuki rantau negara, yang seterusnya menggalakkan pembentukan awan aktif dan menyebabkan keadaan cuaca yang lembap.

Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran cuaca waspada sehingga esok, melibatkan daerah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah; daerah Kerian, Larut Matang dan Selama serta Manjung di Perak dan Pulau Pinang, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu