Nation
205

Hujan berterusan di 6 negeri hingga malam ini

Kuala Lumpur – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengekalkan amaran hujan berterusan kategori buruk dan waspada di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah, sehingga tengah malam ini.

Ia berikutan, masih terdapat luruan angin monsun bertiup ke rantau negara, yang boleh menyebabkan keadaan cuaca lembab di sekitar Pantai Timur dan selatan Semenanjung serta utara Sabah, selain angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan negara.

Laporan cuaca terkini oleh MetMalaysia menunjukkan amaran hujan berterusan kategori buruk dikekalkan di Rompin, Pahang dan Mersing, Johor, yang dikeluarkan sejak tengah hari semalam.

Amaran kategori buruk bererti hujan lebat berterusan dijangka berlaku, dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) dalam tempoh enam jam.

Selain itu, MetMalaysia mengekalkan amaran hujan berterusan peringkat waspada di Kemaman, Terengganu; Maran, Kuantan, Bera dan Pekan, Pahang serta di Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin, Negeri Sembilan.

Amaran itu turut dikeluarkan di seluruh Melaka dan Johor, selain di Sandakan dan Kudat, Sabah.

Amaran peringkat waspada bermakna hujan berterusan dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari, atau hujan berterusan atau ribut petir sedang berlaku tetapi belum mencapai peringkat buruk.

Dalam perkembangan sama, MetMalaysia melanjutkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama di kawasan perairan negara sehingga Khamis ini.

Amaran itu membabitkan kawasan perairan di negeri Pantai Timur serta bahagian timur Johor.

Amaran angin kencang dan laut bergelora peringkat pertama boleh menyebabkan ketinggian ombak mencecah sehingga 3.5 meter di kawasan perairan berkenaan, yang berbahaya kepada bot kecil, sukan dan rekreasi laut, lapor BH Online.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu